Di Manakah Parti Politik Sewaktu Bencana?
Sesungguhnya banjir yang melanda negara pada bulan Disember yang lalu telah memberikan banyak pengajaran kepada kita semua, baik kerajaan, NGO, parti politik mahupun individu. Banjir kali kedua yang melanda Johor dan Pahang sekarang ini lebih teruk lagi. Alhamdulillah, segala persiapan untuk menghadapi banjir ini berjalan dengan baik. Semua agensi kerajaan yang bertanggungjawab dilaporkan bergerak sebagai satu pasukan untuk memastikan keperitan yang dihadapi mangsa banjir dapat dikurangkan. Mangsa-mangsa banjir dapat dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan dengan segera dan sistem amaran banjir dan bencana berjalan dengan keadaan yang memuaskan.
Walaupun begitu, satu persoalan timbul. Di ambang pilihanraya kecil di kawasan Batu Talam, Pahang, parti-parti politik sibuk mempersiapkan jentera pilihanraya di kawasan tersebut. Kita melihat Pengerusi Badan Perhubungan UMNO dan Ketua-Ketua Parti Komponen Barisan Nasional beberapa negeri membuat pengumuman untuk menggerakkan jentera pilihanraya mereka untuk ke Batu Talam. Tetapi, dimanakah mereka dalam keadaan krisis bencana ini?
YB Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat dalam tempoh beberapa hari ini juga mengeluh bahawa jentera kerajaan yang ada tidak mencukupi untuk menghadapi banjir yang sedia ada. Saya diberitahu bahawa beberapa NGO telah dan sedang bergiat aktif untuk membantu mangsa banjir di Johor & Pahang. Pelajar-Pelajar IPT juga dengan sukarela telah menampilkan diri untuk menghulurkan bantuan.
Alangkah moleknya jika Parti-Parti Politik, samada Barisan Nasional ataupun PAS, KeADILan, DAP dan sebagainya menumpukan usaha mereka untuk membantu mangsa banjir? Jika pihak UMNO boleh menggerakkan lebih 50,000 orang daripada Pergerakan Wanita, Pemuda, Putera dan Puteri UMNO untuk ke Batu Talam, mengapakah mereka tidak dapat menggerakkan jentera yang lebih daripada 3 Juta orang ke Johor dan Pahang. UMNO, sebagai parti politik terbesar di dalam Malaysia sepatutnya menjadi contoh dan merintis serta memacu semua parti politik di dalam negara untuk membantu mangsa banjir. Parti-parti politik di dalam negara seharusnya mengetepikan fahaman politik masing-masing di dalam saat-saat getir ini.
Bukankan lebih memanfaatkan rakyat dan pengundi jika parti-parti politik ini menumpukan usaha untuk membantu mangsa bencana daripada sibuk dengan strategi menawan Batu Talam? Adakah parti politik negara kita ini telah terpesong dari matlamat asalnya?
Saya berharap agar YAB Presiden UMNO, Timbalan Presiden UMNO, Ahli-Ahli Majlis Tertinggi, Ketua-Ketua dan Ahli EXCO Pergerakan Wanita, Pemuda & Puteri UMNO menumpukan segala usaha untuk meringankan beban mangsa banjir. Saya menyeru agar semua parti politik di dalam negara kita ini untuk menggerakkan segala jentera yang ada untuk meringankan mangsa banjir. Walaupun, bantuan kewangan amat diperlukan di kawasan-kawasan tersebut, tetapi apa yang lebih penting adalah kerahan tenaga yang ada.
AngkasaOne signing off...
No comments:
Post a Comment